Takdir Cinta Kita - 4

BAB 4

SUDAH EMPAT HARI arwah Razali bersemadi di tanah perkuburan Islam Taman Andalusia. Biarpun Rudy Adriel tidak terlalu akrab namun sedikit sebanyak terasa akan kehilangan seorang pelanggan yang pernah bermesra dengannya. Yang pernah berkongsi rasa kecewa dan duka. Tempoh berkenalan yang tidaklah terlalu lama namun banyak meninggalkan kesan kepadanya. Rudy masih berusaha mendapatkan pentunjuk pembunuh sebenar.
Jika difikirkan, mahu sahaja dilaporkan kepada pihak berkuasa agar menahan suspek itu dengan mengesan lokasi persembunyian Hariez. Kemungkinan besar Hariez turut terlibat dalam kes itu. Pihak berkuasa telah menemui pisau lipat jenis victorinox itu sebagai bahan bukti. Setakat ini, berdasarkan daripada CCTV yang terpasang di Happy Mall itu masih tidak dapat mengenal pasti identiti sebenar orang yang mengekori Razali sehingga ke dalam tandas kerana wajah itu sengaja disembunyikan dengan menggunakan jacket bertutup kepala.
Terdapat juga satu CCTV yang menghala tepat ke arah pintu masuk  ke bilik tandas itu jelas menunjukkan bahawa terdapat orang lain telah dilanggar oleh suspek pertama selepas sepuluh minit berlalu. Menurut jurucakap pihak berkuasa, mereka masih mencari saksi yang dilanggar oleh penjenayah itu untuk mendapatkan keterangan supaya tampil memberi maklumat. Kemungkinan besar saksi itu melihat wajah penjenayah terbabit dengan jelas. Ini akan memudahkan pihak berkuasa untuk meneruskan siasatan.
Biarpun empat hari yang lalu Rudy berjaya mengesan lokasi terakhir Skyline warna hitam itu namun dia tidak bertindak terburu-buru melainkan mencari matlumat adakah Hariez penghuni Apartment Mutiara itu? Dan ternyata hasil matlumat yang diperoleh, Hariez tidak menetap di situ. Rudy akhirnya membuat keputusan untuk menyiasat sendiri. Dia merasakan tugas yang sengaja diaturkan sendiri begitu mencabar. Bukan berniat mahu jadi hero tetapi dia curiga… baginya, dia melihat Hariez buat pertama kalinya, hatinya merasakan lelaki itu terlalu baik. Walaupun wajah nampak serius namun di hati kecil Rudy beranggapan bahawa Hariez seorang yang sangat romantik.
Pintu rumah Kimy diketuk perlahan. Sekitar jam sembilan malam Rudy berkunjung ke rumah Kimy untuk meneruskan misi pertamanya. Dan kali ini dia cuba menjalankan helah agar Kimy kawan baik Hariez itu membuka mulut.
Pintu itu diketuk lagi kerana tiada respons diberikan. Agak lama Rudy menunggu di luar itu. Sekilas dia memandang jam di tangan. Sudah lima minit berlalu. Dia tak ada ke? Rudy mengeluh.
Rudy berundur kerana menyangka Kimy tiada di rumah. Baru sahaja beberapa langkah, dia terdengar pintu terbuka. Pantas Rudy menoleh dan dilihat Kimy berwajah pucat sedang tercegat di situ tanpa membuka grill. Kimy seolah-olah mengawal debaran.
“Maaflah saya sedang makan tadi.” Jelas Kimy memberi alasan.
Maka dengan itu Rudy memesongkan langkah untuk mendekati Kimy di situ. Setibanya dia berdiri di hadapan Kimy, Rudy menguntumkan senyuman. Namun pelik melihat lelaki itu berpeluh sejat seperti orang yang melakukan senaman.
“Encik ni cari siapa?” Tanya Kimy.
“Saya Faruq…” Rudy menghulurkan tangan untuk bersalaman dari ruang grill itu. “Erm saya mencari Encik Hakimy Luqman.”
“Dia tak ada. Maaf…” Cepat-cepat Kimy menutup pintu rumah. Rudy berkerut dahi. Misinya itu seperti gagal dalam penyamaran untuk mendekati Kimy. Semua itu dilakukan bagi mendapatkan matlumat terperinci mengenai Hariez. Dia ingin tahu di mana Hariez berada. Itu sahaja.
“Encik!” Panggil Rudy lagi sambil mengetuk pintu namun dirinya tidak dilayan. “Sombongnya!” Marah Rudy dan dia cuba mencari jalan lain bagi mendapatkan ruang supaya dia dan Kimy dapat bercakap.


 Imbas kembali
Sepuluh minit sebelum kedatangan Rudy ke Apartment Mutiara. Keringat di dahi Kimy menitis laju setelah sepucuk pistol diacu ke arahnya. Seorang lelaki bersenjata api itu mengarahnya supaya membuka pintu. Dalam keadaan ketakutan pintu rumahnya terus dibuka maka lelaki itu meluru masuk ke dalam. Kimy berundur langkah demi langkah sambil mengangkat tangan tanda menyerah dan pasrah.
Lelaki yang berwajah bengis itu merengus geram lalu menutup dan mengunci pintu rumah itu dari dalam. Sementera grill di luar pula sekadar ditutup tanpa dikunci. Kimy cuak dan peluh terus menitis laju. Debaran mula terasa setelah sepucuk pistol benar-benar diacu di kepala.
“Beri kerjasama, kalau tak nyawa kau akan melayang.” Ugut lelaki misteri.
Terangguk-angguk laju Kimy dibuatnya. Dia merasakan nyawanya benar-benar dalam bahaya. Dia tidak tahu kenapa lelaki misteri itu menguggutnya. Kimy merasakan bahawa lelaki berkenaan mahu merompak tetapi apalah yang dia ada. Dia bukan anak orang kaya. Jika mahu merompak sekalipun pergi rompak bank sahaja atau kedai emas. Atau juga merompak anak-anak orang berada yang mempunyai banyak wang tetapi kenapa harus dia yang menjadi mangsa? Hidupnya tiada berteman kerana hidup membujang serta tinggal bersendirian.
“To… tolong jangan tembak saya. Ambil apa yang awak mahu saya tak kisah.”
“Aku tak perlukan apa-apa selain nyawa kau.” Balas lelaki misteri itu.
“Kenapa aku?”
“Ya kau. Kalau kau tak nak mati cepat… aku boleh bagi kau pilihan… sama ada kau nak aku potong jari kau, atau pun lidah kau dulu. Mana kau nak pilih?”
“Dua-dua saya tak nak.” Laju Kimy menjawab dan penjahat itu tersenyum sinis.
“Tapi kau dah cam wajah aku mana mungkin aku nak biarkan kau selesa. Apa kata aku potong lidah kau dan butakan mata kau…”
Terbeliak mata Kimy mendengar kata-kata yang sangat menakutkan itu. Orang yang di hadapannya itu barangkali adalah orang gila, orang yang tak waras dan dia juga merasakan itulah penjahat yang paling kejam. Jantung Kimy berdenyut laju. Nafasnya turun naik dengan cepat sekali. Riak wajahnya benar-benar cuak.
Penjahat itu memandang ke segenap isi rumah. Apa yang dicari Kimy pun tidak tahu. Kimy tidak faham apa yang penjahat itu mahu darinya. Sesungguhnya keadaan genting seperti ini tidak pernah dirasainya malah inilah yang dianggap sebagai penamat hidupnya.
Pistol berkenaan masih lagi diacukan. Picu pistol bakal ditekan bila-bila masa sahaja jika Kimy tidak memberikan kerjasama atau pun cuba melawan. Penjahat yang tidak berperasaan itu mampu melakukan apa sahaja.
Mereka berdua dikejutkan dengan bunyi ketukan pintu. Penjahat itu merenung tajam ke dalam mata Kimy yang kemerahan. Kimy menarik nafas dalam-dalam cuba bertenang namun tidak mampu.
“Kau pergi halau orang yang dekat luar tu tapi jangan kau cuba-cuba lakukan sesuatu jika kau mahu selamat.” Ugutan demi ugutan diterima Kimy. Maka Kimy terpaksa menurut segala kemahuan penjahat kejam itu.


DIA TERPAKSA MELUKAKAN HATI orang tuanya dengan menghilangkan diri begitu sahaja. Hariez Danial terpaksa meninggalkan rumah tanpa pesan gara-gara takut diburu pihak berkuasa. Jauh dia meminggirkan diri dari hiruk pikuk kota datang ke desa. Ketika ini Hariez berteleku di tepi pantai sambil memerhatikan sang ombak setia menghempas dan mengubah bentuknya. Sudah lima hari dia tinggal di Kampung Baiduri yang terletak di sebelah Pantai Timur semenanjung. Pada pagi itu juga dia telah melihat sang matahari bersinar menerangi bumi Tuhan. Seawal jam lapan pagi itu dia termenung dan fikirannya melayang entah ke mana.
Selama itu dia menjadikan surau sebagai tempat berteduh malam dan siang. Dia juga tahu bahawa penduduk kampung itu memandang pelik pada dirinya. Hariez begitu asing bagi mereka kerana Hariez tidak pernah menjejakkan kaki di kampung itu pada sebelum ini dan inilah pertama kali dalam sejarah hidupnya terpaksa merempat demi menyembunyikan diri kerana tiada sesiapa pun yang mengenalinya maka dia rasa selamat.
Dia akur dengan cadangan Kimy kerana dengan cara itu sahaja dia masih bebas. Jika dia menyerahkan diri sebagaimana yang difikirkan sudah pasti dia tidak dapat menghirup udara segar seperti sekarang meskipun hatinya tidak keruan.
Di dalam dia mencari ketenangan di tepi pantai itu yang indah dan damai itu, dia dikejutkan dengan ucapan salam dari seseorang di belakangnya.
“Assalamualaikum anak muda…” Segera Hariez menoleh. Diri Hariez sememang tidak terurus dengan baik. Jambang dan misainya tidak dicukur.
“Wa’alaikumussalam.” Jawab Hariez terus bangun dan bersalam dengan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50an.
“Dah lama pakcik tengok anak ni dekat Surau Haji Awang tu dan pakcik nak tahu anak ni siapa dan dari mana datangnya? Pakcik yakin anak ni bukan orang sini.” Tanya Ustaz Ariffin dengan wajah bersih sambil tersenyum dan tidak pula mempamerkan riak wajah yang terlalu serius.
“Nama saya Asraff pakcik, saya datang ni nak buat research tentang kehidupan masayarat sini. Saya nak menyiapkan tesis yang diberikan kepada saya.” Kata Hariez yang terpaksa berdalih dan menyembunyikan identiti sebenar. Dia bimbang jika siapa dirinya yang sebenar akan terbongkar.
“Oh… jadi anak ni masih belajar ye?” Duga Ustaz Ariffin tanpa menaruh syak wasangka buruk terhadap Hariez dan sememangnya itulah sikap peribadi seorang ustaz sepertinya.
Hariez mengambil kamera Canon EOS 30D yang diletakkan di atas tunggul semasa berteleku di situ tadi untuk disangkutkan pada tengkuknya. Dia memalsukan senyuman kerana terdetik di hatinya rasa serba salah di atas pembohongan itu.
“Kalau begitu jemputlah datang rumah bolehlah pakcik ceritakan serba sedikit tentang tempat ni. Manalah tahu dapat membantu anak menyaipkan tesis tu.” Pelawa Ustaz Ariffin.
Dalam pada itu Hariez berfikir sejenak. Perlu ke aku ikut? Hariez bertanya pada diri sendiri di dalam hatinya dan… dengan berat hati dia bersetuju mengikut orang tua itu pulang ke rumah.


 SUASANA DI DALAM RUMAH Ustaz Ariffin begitu tenang sekali walaupun rumah itu nampak sedarhana namun memiliki seni yang tersendiri. Sambil berbual-bual menceritakan sejarah kampung ini, Hariez berpura-pura mencatit sesuatu di atas kertas dan tanpa disedari telah muncul seorang gadis cantik dan manis bertudung litup lengkap berbaju kurung membawa minuman. Hariez terkedu setelah melihat si gadis tersebut yang nampak malu-malu kucing sewaktu meletakkan cawan berisi air kopi panas.
“Yang ni anak pakcik, namanya Maizatul Akma…” Ustaz Ariffin memperkenalkan anak gadis tunggalnya kepada Hariez. Hanya senyuman dibalas oleh Maizatul Akma kerana perasaan malu menguasai diri.
“Jemputlah minum…” Pelawa Maizatul Akma.
Hariez mengangguk dan membalas dengan senyuman. Seterusnya, Maizatul Akma dengan penuh sopan meminta izin untuk masuk ke dapur semula selepas mempelawa Hariez minum. Cantik anak ustaz ni… desis hatinya memuji kecantikan si gadis tinggi lampai itu.
“Ehem ehem.” Ustaz Ariffin sengaja membatukkan diri menghentikan lamunan Hariez yang kaku memerhatikan langkah Maizatul Akma ke dapur.
“Boleh pakcik tanya sesuatu?”
Hariez mengangguk dan dia bersedia menjawab apa sahaja soalan yang bakal ditanya itu agar tidak mendedahkan realiti sebenar dirinya.
“Pakcik tahu yang anak bukan datang untuk buat research.” Hariez terkejut dan terus menelan liurnya yang terasa seperti berpasir. “Tapi tak apa, jemput minum dulu… nanti boleh lah cerita perlahan-lahan.” Ustaz Ariffin melajutkan lagi kata-katanya sambil berbasa-basi. Hariez pula sudah tidak senang duduk. Riak wajah Hariez berubah serta merta daripada penuh keyakinan kepada curiga.
Kopi di dalam cawan itu ditatap kosong kerana selera untuk minum sudah hilang tetapi untuk menjaga hati tuan rumah maka dengan terpaksa dia menyisip juga air itu dan kemudian cawan tersebut diletakkan semula di atas meja.
“Kenapa pakcik cakap macam tu?” Tanya Hariez kerana dia masih mahu mempertahankan pembohongan itu. Dia terfikir kemungkinan Ustaz Ariffin cuma menguji.
Ustaz Ariffin hanya tersenyum memandang wajah Hariez. Hariez sudah berasa tidak keruan. Aih… dia ni dah syak ke? Hariez tertanya-tanya lagi dalam hatinya.
“Boleh pakcik tengok apa yang kamu catit?” Pinta Ustaz Ariffin seolah-olah bertindak sebagai seorang pensyarah dan Hariez teragak-agak untuk memberikan kertas itu. Hatinya sudah mula menggelebah. Habislah aku kali ni…
“Tak apalah anak, pakcik tahu sebenarnya kamu tidak mencatit apa-apa pun.” Ujar Ustaz Ariffin bukan calang-calang orang untuk diperbodohkan oleh lelaki seperti Hariez.
Terbeliak biji mata Hariez sebaik sahaja orang tua itu berkata sedemikian. Oleh kerana dirinya dicurigai maka dia cuba untuk berterus terang namun lidahnya terkelu.
Nampaknya Hariez tidak boleh berdusta lagi. Dia seharusnya mengatakan yang jujur namun dia takut dan dia begitu bimbang sekali untuk menceritakan hal sebenar kepada Ustaz Ariffin. Dia bukan penduduk kampung itu bahkan dia pula bukan seorang yang optimis. Bertambah cuak lagi apabila berhadapan dengan seorang yang begitu genius menilai orang lain seperti Ustaz Ariffin.
“Anak boleh percayakan pakcik… kerana pakcik dapat rasakan bahawa anak ni menghadapi masalah. Dan masalah anak tu telah membawa anak sampai ke sini.”
Memang Hariez menghadapi masalah besar dan dia sendiri tidak yakin bahawa mampu meluahkan semuanya. Dia takut terperangkap. Dia belum mengenali hati budi Ustaz Ariffin tambah lagi dia sukar mempercayai orang lain selain daripada dirinya sendiri.