Takdir Cinta Kita - 1


BAB 1

CERITA SEPULUH TAHUN dahulu Hariez Danial terkenangkan bekas tunangnya yang dulu menghilang entah ke mana. Lelaki yang berwajah serius dan berkulit cerah dan sasa itu terduduk di sofa. Sesekali nafasnya ditarik sedalam-dalamnya. Lelaki yang sepuluh tahun dahulu kurus kering seperti orang yang tak cukup zat. Bernafas pun seperti di dalam lumpur sahaja. Hendak melakukan kerja pun sukar. Dia menghidapi satu penyakit yang tidak diketahui daripada mana datangnya sehingga menyerang dirinya. Hilang selera makan bahkan kudrat juga hilang.
Tentang cerita sepuluh tahun dulu yang ditinggalkan itu amat menyeksakan dan kini di usia dia mencecah 32 tahun itu seolah tiada kenikmatan. Bahkan hidup ini dirasakan terlalu kosong. Ingatannya masih lagi pada sepuluh tahun lalu di mana dia sedang berupaya melawan penyakit. Dia terlantar sakit di hospital seperti insan yang sudah tiada lagi harapan untuk meneruskan hidup. Dia bernafas hanya melalui alat bantuan penafasan. Dadanya sesak seperti berhabuk. Matanya layu dan tidak dapat dibuka seluas-lusanya. Bahkan pandangannya cukup kabur dan langsung tidak menyedari siapa di sekelilingnya. Hariez hidup terseksa.
Encik Ridhuan yang kini sudah bergelar Dato` Sri Ridhuan ketika itu sering mengeluh dan berputus asa. Azwa Nasyra yang disayanginya itu tidak pernah menjenguknya yang terlantar sakit. Sehingga begitu sekali tingkah Azwa Nasyra gadis cantik yang menjadi tunangnya. Setelah sekian lama bercinta semenjak di bangku sekolah lagi itulah balasan Azwa terhadapnya. Di saat sakitnya, di saat rintihannya hanya Dato` Sri Ridhuan dan Datin Sri Norma sering menjenguk di hospital. Papa dan mamanya itu sudah berputus asa. Sehingga mereka tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukan bagi menyembuhkan penyakit misterinya.
“Pihak kami sedang berusaha merawat anak Dato`Sri.” Ujar seorang doktor yang merawat Hariez. Jawapannya juga menghampakan Dato` Sri Ridhuan kerana pihak hospital sendiri tidak dapat mengenal pasti penyakit Hariez. Ia sungguh ganjil kerana tubuh Hariez susut mengejut dalam masa kurang dua bulan.
“Sampai bila saya nak tengok anak saya menderita macam ni doktor?” Berkali-kali Dato` Sri Ridhuan bertanyakan hal yang sama namun doktor sukar memberikan jawapan yang pasti. Datin Sri Norma terkedu di birai katil wad khas.
“Saya tak kisah doktor. Tolonglah lakukan yang terbaik. Saya sanggup bayar berapa sahaja.” Balas Datin Sri Norma pula. Wajah sayu itu tidak dapat dibendung lagi kerana anak tunggal mereka seperti sedang nazak menunggu ketika sahaja. Sungguh tidak tergamak Datin Sri Norma melihat keadaan Hariez ketika itu. Air mata merembes keluar akhirnya dan Dato` Sri Ridhuan hadir menggosok belakang.
Hariez mendengar setiap rintihan itu. Patah demi patah perkataan menerpa di gegendang telinga namun dia tiada daya untuk bergerak. Dia tidak dapat berkata-kata. Bibirnya kaku dan lidahnya terkelu. Begitulah keadaan Hariez sewaktu di hospital swasta.
Hariez masih ingat lagi, sebelum dia menerima nasib malang itu, dia dengan Azwa keluar makan malam bersama. Pada malam yang hening itu Azwa nampak lain. Riak wajah Azwa tidak ceria. Dia bertanya pada tunangnya itu kenapa bermuram tapi hanya kebisuan sahaja dipersembahkan. Hariez tidak suka berterusan begitu jadi selepas makan malam dia terus mendesak agar Azwa menceritakan masalah.
“Please, tell me.”
“Nothing la Hariez…” Balas Azwa perlahan.
“Look at me!” Hariez sudah hilang sabar namun segera memujuk kerana dia tahu Azwa tidak suka ditengking. Oleh itu dia melembutkan bicaranya.
“Awak buat saya macam orang lain sahaja. Kenapa dengan awak ni…?” Tutur Hariez dengan bahasa yang paling lembut dalam dunia.
“Boleh tak you lepaskan I?” Begitu mudah permintaan Azwa gadis mulus berkulit gebu berambut panjang beralun itu berkata. Tersentak Hariez mendengar permintaan tunangnya tu. Jadi selama ni? Hariez berkerut dahi sambil merenung tajam ke dalam mata Azwa.
“Hariez…” Tiba-tiba imbasan Hariez terhenti gara-gara dipanggil oleh Kimy. Kimy sahabat baik Hariez. Lelaki berterampilan biasa dan tempan dengan gaya rambut pacak begitu datang kea rah Hariez lalu menghempas punggung bersebelahan. Digosok perlahan belakang Hariez dan tindakan Kimy memberikan sedikit kelegaan.
“Boleh aku tumpang tidur sini malam ni?” Pinta Hariez seraya menoleh sekilas.
“Nanti apa pula kata mama dan papa kau Hariez?”
“Aku bukan budak kecil Kimy. Pergi mana-mana pun asyik nak kena beritahu mereka. Aku dah tiga puluh dua tahun.” Nada Hariez turun naik menahan marah dengan sikap kedua-dua orang tuanya yang selalu mengongkong. Dia tahu orang tuanya sayang kepadanya kerana dia merupakan pewaris tunggal syarikat jual beli intan dan berlian. Kekayaan yang dimiliki itu tiada erti dalam hidupnya pun kerana dia langsung tak rasa bahagia. Dia kesunyian tapi dia serik. Trauma dengan kenangan lalu. Aset tetap keluaga Dato` Sri Ridhuan dianggarkan berjumlah RM100 juta. Hidup Hariez mewah tetapi dia lebih senang hidup seperti orang biasa sahaja.
“Jadi kau kena cepat-cepat kahwin. Papa dan mama kau tu nak kau bebaik semula dengan Azwa Nasyra. Kau tak cintakan dia ke?” Soal Kimy lagi mengaitkan nama perempuan yang telah membuatkan hidup Azwa merana.
Sepantas kilat Hariez bangun dan melangkah ke balkoni. Dalam hatinya mengumam geram saat nama itu mencucuk otaknya. Sakit kepala difikirkan.
“Sepuluh tahun dia tinggalkan aku. Sekarang dia datang balik cari aku untuk apa? Untuk menghancurkan hati aku lagi?” Bertalu-talu soalan itu terpancul dari mulut Hariez yang enggan menerima kehadiran Azwa kembali dalam hidupnya. Cukuplah sekali diperbodohkan oleh gadis itu.
“Tapi Hariez…”
“Aku tak nak dengar apa-apa. Kalau kau tak nak tumpangkan aku di rumah kau ni… its okey…” Lirih nada Hariez.
Kimy berdiri di sebelah Hariez. Bukannya dia tidak mahu menumpangkan Hariez di rumah ni tetapi apartment ni manalah sesuai untuk orang seperti Hariez ni. Takkan anak orang kaya duduk di sini. Lebih baik sewa hotel mewah. Duit banyak kalau tak digunakan pun tiada makna juga. Itulah fikir Kimy.




JIKA PULANG KE RUMAH, Rudy Adriel mesti rasa rimas. Oleh sebab itu… ada kalanya dia sengaja pulang lewat supaya ‘kekasih’ di rumah itu tidur lebih dulu. Rudy seorang lelaki yang suka memendam rasa. Dia akan bertindak mengikut kata hatinya sahaja. Sebelum pulang tadi dia singgah ke sebuah taman bunga. Terdapat sesuatu yang berlegar di ruang mindanya kala memerhatikan kuntuman bunga di kala senja itu. Sekarang hari sudah jauh malam. Dia menapak perlahan masuk dan menginjak lantai rumah supaya kepulangan itu tidak akan disedari.
“You pergi mana sekarang baru balik?” Kedengaran suara menerjah cuping telinga seraya lampu rumah terpasang. Tercapak Naem di situ mencerlung tajam ke arah Rudy. Sudah lama mereka mendirikan ‘rumah tangga’ yang kini di ambang kemusnahan. Naem yang berdiri dekat dengan suis lampu segera melangkah mendekati Rudy yang baru sahaja mahu menginjak kaki di atas anak tangga untuk naik ke tingkat atas.
Naem lelaki berperwatakan lembut sedang menghampiri Rudy sambil menyanggulkan rambut panjangnya itu sambil pandangannya tidak berkali dari terus menikam sesusuk tubuh sasa itu.
“I tanya, you pergi mana jam dua pagi baru balik?” Naem serius ingin mengentahui apa yang sudah ‘suami’nya lakukan sehingga lewat malam begini baru pulang. Selalunya Rudy akan pulang awal.
Inilah yang menjadi masalah antara mereka. Rudy rimas kerana sering dokongkong oleh Naem. Hidup Rudy tidak sebebas burung yang terbang di udara. Rudy Adriel umpama burung yang patah sayapnya yang menanti makanan disuapkan. Lelaki berkulit cerah itu mengeluh kasar.
“I keluar dengan kawan-kawan.” Lirih nada Rudy yang kelihatan takut-takut.
“Tanpa beritahu I?” Tingkah Naem berkerut wajah lantas tangan Rudy ditarik untuk dibawa duduk di sofa. Rudy hanya menurut. Dia dilayan bagaikan seorang baby yang tidak dibenarkan merangkak sesuka hati. Perlu berteman dan perlu dijaga dengan baik.
Naem bercekak pinggang seraya punggung Rudy terhempas ke atas sofa berwarna ungu. Berkerut wajah Rudy memendam perasaan marah dan bengang terhadap sikap Naem yang keterlaluan menentukan apa yang perlu dan apa yang tidak dalam hidupnya. Selama lima tahun dia menderita akibat dikonkong oleh Naem. Selama lima tahun itu dia sudah lali dengan sikap cemburu buta ‘isteri’nya itu terhadapnya. Pernah dulu Rudy ditampar serta merta kerana memandang lelaki lain. Marah Naem kerana tidak dibenarkan Rudy cuba-cuba untuk beralih selera pada lelaki lain selain lelaki lembut sepertinya.
“Beritahu I, apa lagi yang tak kena? You dah janji dengan I yang you takkan balik lewat malam. Lepas kerja you akan terus balik rumah tapi apa yang you buat ni? Dalam seminggu ni baru kelmarin you balik awal tu pun sebab I demam. Kalau I sakit nak mati macam mana, ada you nak peduli ke?” Lantang Naem memarahi Rudy. Hati Naem membengkak mengenangkan sikap Rudy lelaki yang dicintainya. Hidup bersama lelaki itu adalah kebahagiaannya buatnya tetapi sejak kebelakangan ini sikap Rudy sungguh menyakitkan hati. Sememangnya ia tidak dapat dinafikan lagi.
Sama ada percaya ataupun tidak Naem perlu belajar menerima hakikat bahawa hati Rudy kian berubah. Perubahan itu terjadi gara-gara sikap negatif Naem sendiri. Rudy  seorang lelaki diketegorikan sebagai lelaki tampan serta memiliki bentuk badan yang sasa menjadi idaman gadis mahupun teruna bahkan bukan mereka sahaja malah golongan lelaki berstatus duda dan suami orang juga berkenan kepada Rudy. Bukan kerana ketampanannya sahaja tetapi juga sikap selamba dan pandai mengambil hati tatkala dia mula berbicara sememangnya disenangi. Di atas alasan itu dirinya selalu dikonkang oleh ‘isteri’nya. Rudy juga seorang lelaki yang mudah didekati kerana dari riak wajahnya tiada langsung menunjukkan bahawa dirinya seorang yang sombong atau marah. Dia sentiasa tersenyum untuk menyembunyikan masalah peribadinya itu.
“Cakaplah, why you diam macam ni?” Neam mendesak sambil menguis dagu Rudy supaya bertentang mata. Sekilas Rudy melihat wajah menyinga Naem atau dia lebih dikenali sebagi Lys oleh kawan-kawan seangkatan.
“Lys…” Perlahan suara Rudy yang tidak mahu memandang wajah Naem. Hanya jubin lantai rumah sahaja ditatap kosong.
Naem terus jatuhkan tubuhnya duduh bersimpuh di sisi Rudy. Dia terus melentokkan kepalanya pada paha Rudy yang ketika itu sedang menarik nafas sedalam-dalamnya. Rudy mengetahui dan begitu memahami bahawa Naem sayang padanya tetapi ada ketikanya rasa sayang itu dihambat rasa rimas yang terlalu dalam. Dia sendiri tidak tahu sama ada dia akan terus berada di sini atau pun tidak.
Naem bermanja-manja pada paha Rudy dengan menggosok-gosok muka pipinya pada paha itu. Tindakan sedemikian tidak mampu mengubah perasaan Rudy Adriel malah dia merasakan Naem pentingkan diri sahaja. Jika benar sayang, tidak perlu mengawal dirinya sampai ke tahap itu. Hendak ke mana-mana mesti melaporkan dahulu. Sampai bila aku nak kena tahan?
Lidah Rudy terkelu dalam waktu yang kian berlalu. Malam semakin larut, mata pula sudha mengantuk. Beberapa kali Rudy menguap. Tanpa disangka, Naem lena di pahanya. Perlahan-lahan Rudy mengusap manja rambut Naem yang panjang mengurai itu. Terdetik di hatinya rasa kasihan jika dia meninggalkan Naem begitu sahaja. Dia juga bimbang digelar sebagai lelaki yang tidak mengenang budi. Manusia yang tidak menghiraukan perasaan orang lain malah dia khuatir Naem akan berdendam padanya.
“Lys… kalau kau sayangkan aku, janganlah kau buat aku macam ni…” desis suara Rudy menutur kata. Naem langsung tidak mendengarnya kerana sedia terlena di situ. Rudy mengengsot sedikit punggungnya untuk merangkul tubuh Naem lantas dicempung naik ke tingkat atas.
Tubuh Naem diletakkan perlahan-lahan di atas katil empuk. Comforter ditarik bagi menghalang kedinginan meratah tubuh Naem. Usai itu dia terus meluru ke arah balkoni untuk menutup pintu. Sementara itu langsir sedang melambai-lambai ditiup angin malam yang sungguh dingin. Angin itu menerobos masuk ke ruang bilik. Bulu roma Rudy merinding kesejukkan. Dia memeluk tubuhnya sendiri. Beberapa detik dia termanggu di muka pintu… akhirnya sliding door ditarik sehingga rapat. Langsir yang melambai-lambai tadi terus kaku kerana angin dari luar tidak berjaya menembusi dinding.



SEBUAH KOLAM RENANG ditatap kosong. Di situ Hariez Danial menghabiskan waktu bersendirian. Rumah yang mewah dan besar itu dirasakan kosong. Hanya dia, papa dan mama sahaja tinggal sebumbung tidak lupa juga seorang pembantu rumah dari Indonesia bernama Mira. Mira pembantu rumah yang baru kerana pembantu rumah sebelum ini tidak lagi berkerja kerana bosan melayani karenah Hariez  yang bukan-bukan. Lagi pula Hariez selalu kenakan pembantu rumah lama tu kerana selalu menggunakan telefon rumah sesuka hati tanpa meminta izin bahkan pernah dilihat mengajak kawan-kawan ke rumah berkenaan. Berlagak macam tuan punya rumah. Menyampah pula Hariez mengenangkan sikap pembantu rumah sebelum ini. Diharapkan Mira tidak seperti itu yang baru berkerja selama dua minggu.
Seawal jam sembilan pagi Hariez telah lepak di tepi kolam renang itu sambil kakinya direndamkan dalam kolam. Ia terasa dingin biarpun matahari mula meninggi membakar kulit. Tidak semena-mena Hariez ditolak masuk sampai ke dalam kolam. Kurang asam!
Terkapai-kapai dia di situ setelah terbabas masuk ke dalam kolam renang itu. Agak kurang ajar orang yang menolak dirinya tadi. Hariez meraup wajahnya yang dibasahi air. Kemudian dia melihat ke atas. Dia nampak Kimy sedang ketawa.
“Kau ni kenapa? Kau nak aku mandi berapa kali?” Kata Hariez dalam nada marah yang ditahan-tahan. Segera Kimy menghulurkan tangan untum membantu Hariez naik semula tetapi dia mengacah sahaja. Geram Hariez dengan tindakan itu.
“Cepatlah!” Hariez mahu dibantu.
“Yelah…” Meleret nada Kimy sambil ketawanya masih bersisa.
“Tidak!!!” Hariez membalas dendam. Ditariknya Kimy masuk bersama-sama ke dalam kolam renang itu. Kimy yang tenggelam itu tidak timbul-timbul.
“Kimy!!!” laung Hariez melihat jasad Kimy timbul perlahan-lahan tanpa bergerak. Kimy timbul tapi tidak bergerak dengan muka dipekup air. Hariez berdebar-debar dan dia mula panik. Dia terus berenang ke arah Kimy lantas dibantu Kimy naik ke atas.
“Kimy bangun! Bangun!!!” Digerak-gerakkan tubuh Kimy yang terbujur kaku. Wajah Hariez berubah. Dia menjadi takut sekiranya sesuatu berlaku pada kawan baiknya itu.
“Mira!!!” Hariez memanggil pula pembantu rumah. Tanpa berlengah Mira tergesa-gesa tampil tapi di tangan Mira memegang sebilah pisau.
“Kamu nak buat apa dengan pisau tu?”
“Lagi potong sayur pak.” Jawab Mira.
“Tak payah potong-potong lagi. Call ambulans cepat!”
“Oya, oya, yang itu kenapa pak? Kok kenyit-kenyit mata? Suka sama saya apaan sih?” Mira bertanya pada Hariez sebaik sahaja terlihat Kimy cuba berpakat dengan Mira. Fikir Kimy dengan mengenyit mata akan membuatkan Mira faham tetapi ternyata orang gaji itu lurus bendul.
Setelah ditanya sedemikian, Hariez terus menoleh. Ketika itu Hariez sedang melutut di sisi Kimy. Niat Hariez mahu menekan dada kemudian mahu melakukan CPR. Tapi… dia tak pernah melakukan perkara tersebut. Nasib baiklah Kimy tu main-main sahaja.
“Apa?!” Terus Hariez mendebik dada Kimy kemudian bangun. Kimy juga bangkit dari perbaringan sambil ketawa terbahak-bahak. Dia berjaya kenakan anak Dato` Sri Ridhuan. Sewaktu di kolej dulu, Hariez selalu kenakan dirinya kini tiba gilirannya. Kenanagan lalu mesti dibalas juga. Sengaja bergurau senda.
“Mira, kamu pergi sambung kerja.” Arah Hariez kepada Mira.
Sejurus kemudian Mira menghilang dari pandangan mereka berdua. Kimy dan Hariez  basah kuyup. Mereka bersikap kebudak-budakkan pula. Kehadiran Kimy ke situ membuatkan Hariez tertanya-tanya.
“Ketawalah banyak-banyak, bila kau mati betul-betul nanti dah tak boleh ketawa dah.” Bidas Hariez membuatkan Kimy terbungkam sambil tergaru-garu kepala.
“Kenapa kau tiba-tiba je datang sini?” Hariez melanjutkan kata-kata. “Tak kerja?” Sambungnya lagi.
“Aku sengaja ambil MC semata-mata nak datang sini.” Jawab Kimy jujur. Hariez angkat kening double jerk. Hairan sungguh jadinya.
“Orang lain ambil MC rehat dekat ruma je. Kenapa kau nak jumpa aku ni?” Hariez menanggalkan bajunya yang basah itu. Bentuk badan itu dilihat oleh Kimy tak berkelip. Tubuh sasa Hariez mengiurkan Kimy. Lama Kimy memandang tubuh milik lelaki itu.
“Kau kenapa?” Sergah Hariez lalu menyindai pakaian itu pada kerusi. Terperanjat Kimy lantas terpisat-pisat sendiri sambil garu kepala. Kimy terpegun melihat bentuk badan itu. Dia juga teringin untuk kelihatan sasa dan gagah.
“Tak ada apa-apa, erm… bo…body kau… cantik.” Puji Kimy tersekat-sekat lalu mengalihkan pandangan ke arah air kolam. “Tak ganti ke air kolam ni?” Tanya Kimy sengaja berdalih.
“Kenapa pulak dengan air kolam tu?”
“Masin.”
“Cis.” Hariez melangkah sambil memaut bahu Kimy. Tubuh Kimy kelihatan kecil berbanding Hariez kerana ditenggelamkan oleh kesasaan badannya yang nampak gagah itu. Mereka melangkah bersama-sama. Oleh kerana Kimy datang ke rumahnya maka mahu diajak minum dulu. “Aku nak kau tolong aku, boleh?” Setelah puas berfikir dan bermenung sebelum kedatangan Kimy tadi kini segala yang berlegar dibenaknya terus diluncurkan kepada Kimy yang hadir tiba-tiba.
“Tolong apa?” Laju Kimy bertanya sambil bahu masih dipaut oleh Hariez.
“Tunggulah, kita duduk minum-minum dulu tapi sebelum tu kau salin pakaian dulu dekat bilik aku. Takkan kau nak duduk di sofa rumah aku ni dalam keadaan basah kuyup macam kan…?” Cadang Hariez dan Kimy mengangguk faham. Memang basah kuyup. Tapi dia tak ada pakaian ganti. Semua itu tidak perlu risau, Hariez ada pakaian ganti untuk Kimy nanti.
Apabila berada di dalam bilik, Kimy kelihatan kaku. Diperhatikan sahaja gelagat Hariez yang meluru masuk ke bilik mandi. Tidak lama kemudian kepala Hariez terjengul memandang kelibat Kimy yang masih berdiri di tepi tingkap.
“Kimy, boleh tak kau tolong ambilkan aku tuala. Aku lupa nak ambil.” Pinta Hariez yang lupa membawa masuk tualanya kerana tadi dia meluru masuk dengan pakaian yang pakainya sahaja.
Kimy segera menoleh lalu dia menurut kemahuan Hariez itu. Dibuka almari untuk mengambil tuala mandi Hariez. Sebaik sahaja dia mencapainya dia terlihat sebuah kotak muzik. Ia sungguh cantik tapi sayang hanya diletakkan di dalam almari sahaja. Dia memandang lama kotak muzik itu kemudian Hariez memanggil.
“Mana tuala aku?” Tanya Hariez.
“Sekejap.” Balas Kimy lalu melangkah.
Hariez memandang pelik pada Kimy. Dia merasakan Kimy menyembunyikan sesuatu. Dari kerutan di dahi Kimy jelas menggambarkan bahawa Kimy memendam sesuatu. Oleh kerana dia mahu segera mandi maka dia tutup semula pintu bilik mandi. Dalam bilik mandi itu Hariez memandang wajahnya pada cermin. Dilihat wajah sendiri yang sudah berjambang. Kalau aku terus fikirkan dia, diri aku yang merana. Dia tak pernah fikirkan aku, bentak hati Hariez yang masih kecewa dengan perempuan bernama Azwa.

No comments:

Post a Comment