Takdir Cinta Kita - 3

BAB 3

MUJURLAH DIA BUKAN tergolong di kalangan lelaki yang suka mengambil hak orang lain. Sebaik sahaja terlihat seorang pengunjung Happy Mall tercicir Iphone, maka dengan segera dia mendapatkannya tuannya semula. Dia tahu barang tersebut sangat berharga dan ia sangat bermakna kepada pemiliknya. Justeru itu dia memulangkan semula. Ia satu tindakan yang baik dan perlu dicontohi. Sesungguhnya mengambil hak orang lain itu adalah haram. Bagaimana jika terkena pada dirinya pula. Siapa yang akan membantunya nanti namun itu semua tidak perlu difikirkan kerana takdir seseorang itu telah ditentukan cuma keadaan dan caranya sahaja berbeza.
Rudy Adriel menarik nafas sedalam-dalamnya kemudian dilepaskan perlahan-lahan. Dia duduk di tempat lelaki tadi duduk. Lama dia menunggu Razali di situ. Katanya ke tandas sekejap sahaja sekarang sudah lima belas minit berlalu. Terdengar pula keluhan kecil dilepaskan. Hari ini dia menghabiskan waktu bersama Razali di Happy Mall dengan menonton wayang. Di dalam panggung tadi dia tak tahan, Razali selalu mengambil kesempatan tidak kira walaupun di mana sahaja. Tangannya dipegang dan diramas oleh Razali. Dia sedar Razali seorang duda tapi belum terlambat untuk Razali berubah dan mencari gadis lain untuk dikahwini. Kasihkanlah anak-anak yang masih kecil itu, yang memerlukan kasih sayang seorang ibu.
“Mak!!!” tergiang-ngiang di telinga suara adiknya menjerit memanggil ibu. Rudy terkedu teringatkan peristiwa lalu ketika berusia dua belas tahun. Dia kehilangan kedua-dua ibu dan bapanya akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya. Hanya dia dan adiknya sahaja yang terselamat cuma mengalami kecederaan ringan.
Masih terbayang lagi bagaimana sebuah lori tangki minyak cuba memotong tetapi gagal kerana terdapat kenderaan yang bertentangan. Kereta yang dipandu oleh ayahnya ketika itu terus dirempuh mengakibatkan ayahnya terpaksa memaut setereng ke kiri dan terlanggar tiang elektrik. Kereta remuk dan ibunya terhantuk kuat pada dashboard manakala kepala ayahnya terhantuk pada setereng kereta. Ayahnya meninggal serta merta tetapi ibunya masih lagi bernyawa dan cepat berpesan agar dia menjaga adiknya baik-baik. Ibunya meninggal semasa perjalanan ke hospital.
“Ibu… adik dah tak sayang saya lagi.” Rintih Rudy sendiri di tempat duduk itu sebaik sahaja kenangan lalu menjelma di minda tanpa disuruh. Dia rindukan Mikail yang kini tidak lagi bertemu dengannya. Sudah lima belas tahun Mikail menyepi dan tinggal bersama keluarga angkat. Dia terpisah dengan Mikail sewaktu dirumah anak-anak yatim di Teratak Ehsan lagi.
Sesungguhnya sebagai seorang abang, dia tidak dapat melupakan adik kandungnya sendiri. Dia benar-benar merinduinya. “Entah di mana kau sekarang ni dik…” Sayu suaranya merintih lagi dan tanpa sedar tubir matanya bergenang. Betapa dia terlalu sensitif. Menyedari air matanya hampir menitis maka cepat-cepat diseka.
“Encik menangis?”
Rudy terus menoleh lalu memalsukan senyuman. Dia menyembunyikan perasaan rindu itu. Dia memendam perasaan itu sekian lama. Tiada siapa yang tahu kecuali dirinya sahaja. Rudy tidak menyangka lelaki tadi kembali semula ke situ menyapa dirinya.
“Tak, saya tak menangis.” Jawab Rudy perlahan.
“Boleh saya duduk.” Hariez meminta kebenaran.
“Boleh, silakan.” Hariez terus melabuhkan punggungnya di sebelah Rudy.
“Dari tadi saya nampak encik termenung. Sebelum tu saya nak ucapkan terima kasih sekali lagi kerana pulangkan barang saya tadi.” Ujar Hariez sambil membeli dua tin air 100 Plus dari premis 7 Eleven tadi.
Rudy memandang Hariez yang kelihatan sungguh baik. Pertemuan yang tak disengajakan itu membuatkan mereka berbual-bual seketika. Rudy dengan sikap memendam sahaja dan suka mendengar amat disenangi oleh Hariez. Hariez menghulurkan minuman.
“Nak?”
“Eh tak apalah.” Rudy menolak pelawaan.
“Saya beli dua tapi membazir pulak kalau saya buang je tapi… kalau encik tak nak saya terpaksa buang.” Hariez meletakkan di sisi Rudy.
“Nama saya Rudy… Rudy Adriel…” Tutur Rudy memperkenalkan namanya. Dia tidak mahu berencik-encik. “Tak elok membazir, masih terdapat ramai lagi insan yang kehausan dalam dunia ni.” Rudy melanjutkan kata-katanya mengingatkan Hariez bahawa membazir itu adalah satu sikap yang tidak baik.
Hariez nama seperti sedang berfikir. Barangkali dia cuba menilai apa yang disampaikan oleh Rudy. Banyak perkara boleh dikongsi bersama Rudy kerana cara dan sikap Rudy memang peramah dan setiap kata-katanya berdedikasi dan ada pengisian.
“Oh, betul tu.” Balas Hariez ringkas. “Nama saya Hariez.” Sambung Hariez lagi.
Selembar senyuman dihadiahkan buat Hariez. Dada dilapangkan menyambut kenalan baru dalam hidupnya. Rudy berbesar hati kerana ada juga teman yang sudi bertanya kesedihannya. Sungguhpun begitu dia masih enggan bercerita kerana itu adalah masalah peribadinya dan tidak mahu melibatkan semua orang. Tambah lagi, Hariez baru sahaja dikenalinya.
“Kerja di mana?” Tanya Hariez sengaja bertanya kerana dia mempunyai niat semasa bertemu dengan lelaki bernama Rudy. Hariez memang tergerak hati untuk bertanya tentang pekerjaan. Baginya, jika bersesuainya dia mahu memohon kerja. Dia sudah bosan duduk terperap di rumah.
“Erm… erm…” Rudy segan menyatakan pekerjaannya. Dia tidak mahu masyarakat berasa jijik dengan pekerjaan itu. Khususnya pada lelaki yang baru dikenali tidak sampai setengah jam itu.
“It’s okey kalau tak nak beritahu pun, saya faham. Saya minta diri dulu ya.” Hariez mahu berundur dan dia segera bangun lantas bersalaman dengan Rudy. Hariez menguntum senyuman. Rudy pula dihambat rasa serba salah. Sukar untuknya menyatakan pekerjaan. Dia tidak mahu berdalih atau menyebut pekerjaan lain. Lidahnya sukar untuk berkata-kata sedemikian.



HARIEZ DANIAL TIDAK TERTAHAN LAGI. Dia tepaksa meminta diri gara-gara hendak membuang air kecil. Dia segera melangkah mencari tandas awam yang terdapat di Happy Mall. Sebaik sahaja kakinya mahu melangkah masuk, tiba-tiba bahunya dirempuh oleh seseorang yang terburu-buru keluar. Langsung tidak meminta maaf bahkan berlalu begitu sahaja.
“Apa punya orang la!” Hariez membebel sendiri.
Lantaran itu Hariez terlihat sesuatu yang telah jatuh di jubin lantai tandas itu sewaktu perlanggaran berlaku tadi. Segera diambilnya dan lantas ditilik. Pisau? Hariez terkejut melihat barang itu adalah pisau lipat jenis victorinox.
Pisau itu masih dipegangnya biarpun terlihat ada kesan darah. Dan seterusnya dia segera ke suatu sudut untuk melepaskan hajat tetapi sebaik sahaja pintu ditolak… mata Hariez terbuntang. Dia mula panik setelah melihat keadaan jasad yang terkulai. Leher sudah dikelar dan darah masih meleleh keluar. Hariez percaya lelaki itu baru sahaja dibunuh.
Jantung Hariez berdetak laju kerana inilah kali pertama dia melihat orang mati dibunuh di hadapan mata. Terdapat kesan darah melekat di dinding tandas. Barangkali itu terhasil daripada tapak tangan si mati sendiri. Mungkin si mati itu telah meronta-ronta akibat leher dikelar kejam. Lidah si malang itu pula terjelir keluar dan kaca mata sudah patah serta kantanya juga pecah dipijak. Hariez membuat andaian sendiri tanpa bukti kukuh.


Imbas kembali
RUDY ADRIEL mengumam geram. Filem yang dilihat dipanggung wayang itu ditatap kosong sahaja. Jalan cerita tidak amati dengan baik. Semuanya terjadi gara-gara sikap Razali meraba sana sini. Sesekali dia menepis manja agar perasaan Razali tidak tersinggung.
“Boleh tak awak jangan buat macam tu lagi?” Bisik Rudy supaya Razali faham dan menghormatinya. Sekali lagi jari jemari kanan Rudy digenggam oleh Razali. Genggaman itu diperkemaskan seolah-olah tidak mahu melepaskan Rudy. Filem yang ditonton semakin hampir ke penamatnya dan Razali menggosok lengan Rudy perlahan-lahan. Diusapnya penuh kasih sayang namun Rudy tidak merasakan kehebatan kasih itu malah dirasakan amat menjengkelkan.
Please…” Desis Rudy sekali lagi.
Razali diam lalu dilepaskan pegangan itu. Dia mendekatkan bibirnya pada telinga Rudy. Jelas terasa nafas Razali mendengus tapi mula reda.
“Saya nak ke tandas sekejap, jumpa dekat luar okey.” Pesan Razali lalu bangun. Rudy pula tidak faham apa motif sebenar Razali mengajaknya keluar. Tengah hari tadi makan bersama kemudian menonton wayang selepas ini apa pula yang mahu dilakukan Razali nanti?. Rudy melepaskan keluhan dan mengangguk.
“Saya tunggu ye.” Ucap Razali sekali lagi.
“Baik.” Balas Rudy kemudian Razali bingkas bangun segera ke tandas.
Sementara itu terdapat seorang penonton memakai cap menurut di belakang Razali. Rudy tidak menaruh syak. Selepas lima minit masa berlalu, filem sudah pun tamat para penonton bangun dan meninggalkan tempat duduk masing-masing. Rudy pula masih lagi duduk dan membiarkan para penonton lain keluar terlebih dahulu. Usai segalanya selesai barulah dia bangun. Memang dia rasa kurang selesa setelah menjejakkan kaki di Happy Mall. Terasa seperti diperhatikan sahaja.
Dia melangkah perlahan-lahan dan kemudiannya dia terlihat seorang lelaki yang sedang duduk sambil tersenyum sendiri malah dia terdengar tawa kecil dari lelaki itu. Fikir Rudy barangkali lelaki tu kurang siuman agaknya senyum sendiri di kerusi itu. Baru sahaja dia hendak melintas, tiba-tiba lelaki yang berseluar pendek bangun dan berlalu. Rudy menoleh ke arah kerusi tersebut lantas terlihat Iphone 4s tertinggal.
Usai dikembalikan barang tersebut dia duduk pula di situ. Mengelamun sendiri tetapi dia berasa agak pelik kerana seolah-olah sedang diperhatikan. Dia cuba mengusir perasaan itu tetapi semakin lama semakin kuat malah dia bernyanyi sendiri menghiburkan hati. Sebaik sahaja dia menoleh ke kiri dan kenan sambil menunggu Razali, perasaannya reda sedikit tetapi mindanya menangkan kerinduan pada masa lalu.
Dia segera menghubungi Razali tetapi gagal. Dia menunggu agak lama jadi dia ingin beritahu bahawa dia tunggu di situ supaya Razali tidak tercari-cari nanti. Telefon bimbit Razali dimatikan. Keadaan itu membuatkan hati Rudy tidak tenteram malah bercampur baur sekali. Baru sahaja dia berhajat untuk mencari Razali, muncul semula lelaki itu di hadapannya sambil membawa tin minuman di tangan.



DAHI HARIEZ DANIAL BERKERUT-KERUT dan wajah itu jelas kelihatan pucat. Dia segera melangkah meninggalkan tandas itu. Dia tidak mahu ada sebarang kaitan. Dia tidak mahu dituduh membunuh atau pun menjadi saksi kepada pembunuhan tersebut. Daripada dia berlama di tandas itu lebih baik dia beredar. Maka langkahnya semakin laju. Dari jauh dia sudah diperhatikan oleh Rudy. Rudy mencari Razali kerana terlalu lama ditunggu-tunggu.
Rudy pula semakin hampir ke tandas itu tapi ada seorang lelaki lembut masuk terlebih dahulu sebelumnya. Maka dia terdengar jeritan. Suara itu menarik perhatian orang yang berdekatan maka dengan rasa ingin tahu… ada di antara mereka terus berkejar-kejar ke tandas berkenaan maka terlihat satu mayat berlumuran darah.
Rudy turut terkejut dan jantungnya bagaikan luruh setelah mendapati si mati itu adalah Razali. Leher itu sudah dikelar. Dengan pantas Rudy berundur dan mengejar Hariez. Rupanya dia tu pembunuh! Rudy membuat telahan.
Mata Rudy meliar mencari kelibat Hariez dan akhirnya dia terlihat Hariez sedang berada di escalator untuk turun ke tingkat bawah. Maka dia segera mengejar untuk mengekori ke mana lelaki betubuh sasa itu hendak melarikan diri.
Setibanya di parkir kereta, dia mendapat Hariez segera masuk ke perut kereta Skyline berwarna hitam. Rudy terus berlari dan menahan sebuah teksi lalu segera masuk.
“Encik! Kejar kereta dekat depan tu jangan sampai terlepas!” Pinta Rudy kepada pemandu teksi berkenaan.
“Kalau kena saman bagaimana?”
“Tak kisahlah saya tanggung semuanya.” Balas Rudy.
Pemandu itu menurut sahaja asalkan tambang dibayar. Dan jika sebarang kemungkinan bakal berlaku Rudy akan bertanggungjawab. Dalam kesesakan lalu lintas, sedaya upaya pemandu teksi mengejar kereta Skyline itu. Waktu sekarang adalah waktu orang pulang dari kerja maka kesesakan lalu lintas sukar dielakkan.
Demi mengetahui kedudukan pembunuh itu maka Rudy terpaksa meninggalkan jasad Razali di tandas itu. Biar pihak berkuasa uruskan. Lagipun Razali sudah mati. Apa yang penting sekarang ini Rudy mahu mendapatkan pembunuhnya. Pembunuh itu mesti didakwa.
Rudy meletakkan Hariez adalah suspek utama kerana dari gelagat Hariez itu begitu mencurigakan maka peratusan tinggi diletakkan bahawa Hariez adalah pesalah. Sekurang-kurangnya Rudy berusaha mendapatkan bukti.



SKYLINE YANG DIPANDU HARIEZ DANIAL tiba di perkarangan Apartment Mutiara. Dia parkir keretanya lantas keluar dari perut kereta untuk menuju ke tingkat lapan apartment tersebut. Dia mahu mendapatkan Kimy. Dia berdebar-debar tambah pula dia fobia dengan darah. Melihat darah pasti jantungnya berdetak kencang. Debaran itu masih terasa sehingga sekarang.
Butang buka pada lif ditekan namun ia lambat. Maka Hariez membuat keputusan untuk melewati anak tangga sahaja. Dia berubah niat lantas segera menggunakan tangaa untuk ke tingkat lapan. Argh!!! Hariez sudah tertekan. Termengah-mengah dia menaiki tangga. Akhirnya dia sampai ke tingkat lapan. Pintu rumah Kimy diketuk kuat lantas meuncul Kimy di muka pintu.
“Kau kenapa ni Hariez? Tanya Kimy sebaik sahaja melihat wajah Hariez yang pucat mayat itu.
Grill pintu dibuka untuk membenarkan Hariez masuk ke dalam. Tanpa banyak bicara Hariez terus duduk di sofa dan bermain dengan jari jemari sendiri. Peluh mencurah-curah. Hariez bermandikan peluhnya sendiri. Terketar-ketar Hariez mengenangkan situasi yang dilihatnya di Happy Mall.
“Apa yang dah berlaku ni?” Kimy bertanya dengan penuh kehairanan.
“Ta… tadi…” Tergagap-gagap Hariez hendak bercerita.
Melihat daripada keadaan Hariez itu yang agak ketakutan maka Kimy bergegas kedapur untuk mendapatkan segelas minuman. Usai itu dia kembali semula lalu memberikan air sejuk untuk Hariez.
“Minum air ni.” Suruh Kimy lalu melabuhkan punggung di sebelah Hariez.
Air sejuk di dalam gelas itu bergocak menandakan tangan Hariez terketar-ketar. Kimy menggarukan kepala kehairanan. Tetapi seingat Kimy, dia pernah melihat Hariez berkeadaan seperti itu. Kimy pernah bersama Hariez terlihat  kemalangan jalan raya berlaku di hadapan mata. Darah? Fikir Kimy.
“Kau tengok darah ke?” Duga Kimy.
Dengan pantas Hariez mengangguk. Hariez seolah-olah hilang kata-kata. Dia cuba bersuara tetapi lidahnya terkelu. Dia fobia setelah melihat darah. Darah yang dilihat di tandas itu jauh lebih banyak berbanding darah yang dilihatnya pada kemalangan jalan raya.
“Kau tenang dulu…” Kimy terus mencapai naskah surat khabar yang berada di atas meja lalu dikipaskan Hariez supaya Hariez berasa sedikit lega. Dengan cara itu mampu membuatkan Hariez menarik nafas setenang mungkin.
Perlahan-lahan tubunya disandarkan pada sofa kemudian Hariez memandang Kimy dengan penuh rasa takut dan bimbang. Dia sendiri tidak tahu kenapa muncul perasaan sedemikian setelah apa yang dilihatnya itu. Apa yang pasti, Hariez tidak bersalah dan kemungkinan besar kekacauan jiwa mengheret dirinya menusuk ke dalam ruang sempit.
“Macam mana sekarang?” Tanya Kimy.
Hariez menarik nafas sedalam-dalamnya dan kemudian dilepaskan perlahan-lahan. Tindakan itu berulang sebanyak dua kali.
“Okey…” Jawab Hariez lirih nadanya. Kudratnya bagaikan dirampas oleh suatu kuasa yang tak terjangka. Itulah kepenatan ketika menaiki tangga bermula dari tingkat bawah sehingga ke tingkat lapan.
“Cerita dekat aku, apa sebenarnya yang berlaku Hariez?” Kimu ingin tahu.
“Tadi…” Hariez memadang wajah Kimy sekali lagi. Kimy mendengar dengan penuh perhatian. “Ada pembunuhan berlaku di Happy Mall.” Beritahu Hariez dan sejurus kemudian riak wajah Kimy nampak tidak berperasaan.
“Jangan main-main…”
“Tak! Aku tak main-main.” Bantah Hariez.
Kimy seolah-olah sukar mempercayainya namun setelah diceritakan dengan lebih terperinci barulah sedikit demi sedikit Kimy memahami apa sebenarnya yang berlaku.
“Ada saksi lain yang nampak selain kau?” Kimy inginkan kepastian dan Hariez menjawab dengan gelengan. “Bahaya macam ni. Kalau tak ada saksi lain kemungkinan kau akan dituduh.”
“Pisau tu…” Baru Haris teringat mengenai pisau yang dipegangnya semasa di dalam tandas itu.
“Kenapa dengan pisau tu?” Kening Kimy terangkat.
Hariez terus memegang kepalanya. Dia bertindak bodoh. Dirasakan tindakan spontan itu pasti menyusahkannya. Tidak syak lagi kerana Hariez terlupa sesuatu.
“Kenapa Hariez? Beritahu aku apa lagi yang kau dah buat?”
“Aku tak bunuh dia percayalah.” Tiba-tiba Hariez menggelabah.
“Ya, aku tahu kau bukan pembunuh tapi kenapa kau risau sangat?”
“Aku tertinggal pisau tu dekat sana dan aku dah…” Dahi Hariez berkerut-kerut. Kimy pula melepaskan keluhan lantas menepuk dahi sendiri.
“Kau pegang?” Kimy menduga lalu Hariez menjawab dengan anggukan. “Habislah… kalau polis dapat cap jari kau pada pisau tu... ini mendatangkan masalah besar.” Kimy mula membuat telahan. Kata-kata Kimy itu menambahkan lagi debaran di hati Hariez. Jantung Hariez kembali berdetak kencang disusuli pula dengan keluhan panjang. Sesalan yang tidak berkesudahan namun itu adalah takdir untuknya.
“Apa aku nak buat ni? Aku tak tahu pembunuhan berlaku dalam tu.” Hariez nampak berserabut. Fikirannya bertambah kusut seperti benang yang tersimpul. Kimy pula mengerah otak supaya mencari jalan yang terbaik untuk Hariez.
“Memang kau tak tahu… dan  kita takkan dapat tahu jika kita tak hadapainya. Kau kena sembunyi dulu. Kau kena dengar cakap aku.”
“Sembunyi?” Hariez sukar berbuat sedemikian. “Kalau aku bersembunyi nampak sangat aku ni bersalah!” Bentak Hariez tiba-tiba melanjutkan kata-katanya.
“Tapi kau tak ada pilihan lain lagi Hariez. Kau nak menyerah diri ke sedangkan kau tak bersalah? Bukti tu cukup untuk mendakwa kau di makamah sebagai pembunuhan meskipun kau bukan pembunuh sebenar. Kau pasti ke tak ada sesiapa yang nampak kau? Ada sesiapa yang kau syak yang boleh dianggap sebagai pembunuhnya?” Kimy terus menyoal tanpa henti di dalam situasi tegang itu.
Pertanyaan itu membuatkan fikiran Hariez bertambah kacau dan jiwanya tidak tenteram sama sekali. Kimy pula mempamerkan riak wajah simpati terhadap Hariez kerana terlihat seolah-olah Hariez sudah terperangkap di dalam situasi itu yang tiada jalan penyelesaian.
Kimy pula tidak ingatkan Hariez berkenaan janji untuk dibawa mengurut. Dalam keadaan sekarang semua itu tidak penting lagi biarpun itulah permintaan Hariez sewaktu Kimy di rumah besar itu pagi tadi. Demam Kimy masih lagi terasa tetapi terpaksa menumpukan perhatian pada masalah yang melanda Hariez.

4 comments:

  1. sangt3 best..
    apala yang jadi nanti yer

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih, kalau nak tahu kena sabar tunggu. saya sedang tulis tuk bab seterusnya, n_n

      Delete
  2. rasanya perkataan 'melama' di situ boleh ditukar kepada 'berlama' di situ sebab melama tu tak sesuai sikit...

    ReplyDelete
    Replies
    1. betul jugak kan, okey saya tukar kak. Terima kasih kerana sudi bantu saye =_=

      Delete